PELAJAR PROGRAM ASASI PENGURUSAN MENEROKA RAHSIA ALAM DI RIMBA HIJAU

Aktiviti tersebut dianjurkan oleh Pusat Asasi Pengurusan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan. Sebelum aktiviti bermula, para pelajar yang diketuai oleh saudara Adzrul Nizam Abdul Halim telah mengadakan senaman regangan kepada semua pelajar bagi mengelakkan kejadian tegang otot disamping meningkatkan ketahanan fizikal dan mental semua pelajar.

Objektif program adalah untuk memperkenalkan para pelajar kepada ratusan pokok-pokok yang memenuhi rimba hijau UUM dengan nama-nama saintifik serta penerangan serba sedikit mengenai khasiat pokok-pokok berkenaan.

Selain objektif tersebut, aktiviti berbentuk pertandingna berkumpulan telah diadakan di dalam Hutan Sintok bagi menilai semangat setia kawan dan kerja berpasukan (teamwork). Setiap kumpulan dikehendaki memikirkan bentuk persembahan yang dapat menonjolkan idea dan kreativiti kumpulan masing-masing bertemakan “Sehati Sejiwa”.

Aktiviti santai dan menyeronokkan itu sangat menggembirakan para pelajar kerana ia dapat menghilangkan tekanan belajar sebelum mereka menduduki Peperiksaan Akhir Semester pada 17 – 21 September 2015.

Pada akhir program, kumpulan yang berjaya mempamerkan kreativiti dan semangat berpasukan yang tinggi memperolehi hadiah berupa hamper yang disumbangkan oleh Pusat Asasi Pengurusan.

Program yang dianjurkan turut disertai oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar) Prof. Madya Md. Zahir Mat Cha, staf Pusat Asasi Pengurusan dengan dibantu oleh tiga orang penunjuk arah daripada Unit Renjer, Jabatan Keselamatan.