PENDEDAHAN TEKNIK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN MUET

Encik Zaidi Zakaria, Ketua Unit Bahasa Inggeris, Kolej Matrikulasi Kedah, telah sudi menerima jemputan kali kedua daripada Pusat Asasi Pengurusan bagi menyampaikan tips-tips menjawab dan taktik mendapat markah yang tinggi dalam soalan peperiksaan kepada para pelajar Program Asasi Pengurusan UUM.

Peperiksaan MUET bagi tahun 2016 akan diadakan mulai 23 Februari 2016 bagi kategori Speaking, Reading dan Writing manakala ujian Writing akan diadakan pada 15 Mac 2016. Seramai 143 pelajar Program Asasi Pengurusan UUM akan menduduki peperiksaan tersebut.

Menurut Penyelaras Bahasa Inggeris, Pn. Shahrul Niza Said, pada tahun ini Pusat Asasi Pengurusan lebih proaktif, iaitu dengan mengadakan bengkel berkenaan lebih awal berbanding tahun lalu. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang bentuk soalan dan pemarkahan peperiksaan MUET. Para pelajar turut berpeluang menjawab soalan secara hands-on bagi memahirkan mereka dengan bentuk soalan sebenar.

Penerangan mengenai teknik menjawab soalan sangat dinanti-nantikan oleh para pelajar kerana masing-masing berazam untuk mencapai keputusan yang cemerlang bagi melayakkan mereka memohon program-program yang kritikal pada peringkat sarjana muda nanti. Pada tahun 2016, Pusat Asasi Pengurusan mensasarkan kesemua pelajar Program Asasi Pengurusan akan memperolehi Band 3 - Band 5 dalam peperiksaan tersebut.

Sesi ceramah tersebut turut dihadiri oleh tiga orang Guru Bahasa Inggeris, Timbalan Pengarah (Akademik) serta Penolong Pengarah Kanan, Pusat Asasi Pengurusan. Majlis diakhiri dengan penyampaian surat penghargaan dan cenderamata kepada En Zaidi Zakaria oleh Pn. Shahrul Niza Said yang mewakili Pusat Asasi Pengurusan.

==============================

DARIPADA:

PUSAT ASASI PENGURUSAN

UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

FAKS: 04-928 3453

E-MEL: asasi@uum.edu.my

FACEBOOK: Pusat Asasi Pengurusan

LAMAN WEB : Pusat Asasi Pengurusan