STUDY GROUP DAN TUTORIAL BANTU 29 PELAJAR PROGRAM ASASI PENGURUSAN CAPAI PMS 4.00 PADA SEMESTER PERTAMA SESI 2016/17

Majlis Penyampaian Anugerah Pengarah Sesi 2016/2017 telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Abdul Razak Yaakub dan turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Pengarah serta tenaga pengajar Semester 1. Prof. Dr. Abdul Razak dalam ucapan aluannya mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan akhir semester pertama.

Menurut Prof. Dr. Abdul Razak, terdapat tiga elemen untuk pelajar mendapat anugerah semasa di peringkat sarjana muda, iaitu kecemerlangan akademik yakni mendapat anugerah dekan setiap semester, aktif ko-kurikulum dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan atau soft skill yang lain. Selain itu, sikap suka membantu pelajar lain secara sukarela merupakan salah satu ciri pelajar cemerlang, kerana apabila seseorang pelajar membantu pelajar lain, pelajar tersebut akan menjadi lebih cemerlang.

Seorang penerima Anugerah Pengarah yang memperolehi PMS 4.00, Nurul Azyyati Amalin binti Razali berkata “tutorial atau tution bagi subjek Fundamental of Mathematics 1 dan Financial Accounting yang dikendalikan secara percuma oleh rakan-rakan daripada Exco Akademik, Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan sangat membantu saya untuk lebih memahami topik-topik yang saya kurang faham”. Selain itu, “study group yang dibuat sangat bermanfaat kerana kami sama-sama membuat latihan bagi subjek-subjek yang agak kritikal dan rakan-rakan yang pandai tidak lokek untuk membantu rakan-rakan yang lemah”.

Rakannya yang turut memperolehi PMS 4.00, Nur Farah Hani binti Hisham berkata “saya selalu membantu kawan-kawan yang ada masalah dalam memahami topik-topik yang diajar di kelas. Alhamdulillah berkat pertolongan saya kepada rakan-rakan, Allah membalas niat baik saya dengan pencapaian ini”. Beliau juga meletakkan azam untuk memperoleh Anugerah Pengarah pada Semester 2 dan 3 dalam Program Asasi Pengurusan dan Program Sarjana Muda kelak.

Majlis tersebut turut diselitkan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta Kelas Kefahaman Fardhu Ain yang telah diadakan selama empat minggu pada bulan Ogos 2016 di INASIS TNB.