CERAMAH ‘INDAHNYA PERGAULAN BERSULAMKAN IMAN’ BERSAMA USTAZ ADNIN BIN ROSLAN, PENGASAS TARBIAH SENTAP

Antara objektif utama yang ingin direalisasikan oleh Exco Kerohanian pelajar melalui anjuran sesi perkongsian ilmu ini ialah untuk memberi kesedaran yang tinggi kepada para pelajar asasi mengenai masalah sosial yang sering membelenggu golongan remaja serta masyarakat kini yang berpunca daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang tidak dikawal. Selain itu,ceramah ini juga bertujuan untuk membendung isu pergaulan sosial yang berleluasa oleh golongan mahasiswa kini yang semakin membimbangkan ramai pihak.

Kehadiran Ustaz Adnin bagi menyampaikan ceramah tersebut mendapat respon yang amat baik oleh para pelajar kerana kepetahan beliau dalam menyampaikan hujah beserta ilmu agama yang mendalam mengenai “Fiqh Wa Usul” telah membuatkan semua pelajar kagum dan terkesan dengan intipati perkongsian beliau. Selain itu, Ustaz Adnin Roslan juga telah mempunyai pengalaman yang banyak dalam memberi sesi ceramah khususnya kepada golongan belia kerana beliau seringkali dijemput sebagai penceramah oleh sekolah-sekolah dan juga universiti.

Seorang pelajar yang ditemui, Mohamad Nasrul Haqimi Bin Mohamad Adli berkata beliau sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk menghadiri program ilmiah sebegini. “Menurutnya, banyak ilmu yang diperolehi melalui ceramah yang disampaikan seperti beliau dapat memahami konsep pergaulan sesama berlainan jantina menurut perspektif islam yang sebenarnya berbanding sebelum beliau mengikuti ceramah ini.Tambahan pula, beliau juga berharap dapat mempraktikkan apa yang telah disampaikan oleh Ustaz Adnin dalam sesi ceramah tersebut dan ingin meluangkan masa untuk menghadiri program ilmiah sebegini pada masa yang akan datang”.

Sesi perkongsian ilmu itu juga telah dihadiri oleh Prof. Madya Md. Zahir Mat Cha Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar) serta Puan Faizah Hashim, Penolong Pengarah Kanan, Pusat Asasi Pengurusan.