“TALENT DEVELOPMENT” – LATIH PELAJAR PROGRAM ASASI PENGURUSAN MILIKI MINDA “GROWTH MIND SET”

Syarahan tersebut merupakan syarahan ketiga “Special Lecture Series 2016” yang dianjurkan Pusat Asasi Pengurusan.

Dalam syarahannya, Profesor Rosna menegaskan bahawa para pelajar tidak boleh meramal atau menjangkakan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan, yakni selepas pelajar bergraduasi pada tahun 2020 nanti. Justeru, para pelajar mestilah bersiap siaga dan mempunyai pemikiran yang multi diciplinary. Dalam konteks ini, para pelajar perlu mengamalkan konsep SMART dan mempunyai minda yang maju ke hadapan atau “growth mind set”.

Menurutnya, “orang yang berjaya di dunia ini ialah orang yang mempunyai growth mind set”. Kejayaan seseorang itu akan lebih menyerlah sekiranya dia mempunyai ciri-ciri kepimpinan, berkarismatik, mempunyai tingkah laku yang baik, berkemahiran dan berpengetahuan yang luas, bermotivasi serta berani melakukan perubahan.

Justeru, katanya, mulai dari sekarang, para pelajar perlu mendiagnosis kekuatan atau kelebihan diri dan menetapkan strategi yang ingin dicapai dalam hidup. Selain itu, kebolehan yang dimiliki oleh setiap pelajar perlu dibangunkan atau dipraktikkan bagi membina tahap keyakinan diri.

Beliau juga mengingatkan para pelajar agar membangunkan kebolehan diri dan sentiasa mempunyai sifat ingin tahu, bijak menggunakan peluang yang datang dan sentiasa memahami perubahan yang berlaku dalam persekitaran.

Syarahan Profesor Rosna yang berlangsung selama dua jam terasa singkat kerana kupasan beliau yang menarik di samping reaksi positif para pelajar yang silih berganti bertanyakan soalan.

Hadir sama dalam siri syarahan tersebut ialah Prof. Madya Dr. Munif Zarirruddin Fikri bin Nordin, Timbalan Pengarah (Akademik) dan Puan Faizah Hashim, Penolong Pengarah Kanan, Pusat Asasi Pengurusan.