KERJASAMA PUSAT ASASI PENGURUSAN DENGAN PUSAT BUDAYA DAN SENI BERJAYA CUNGKIL BAKAT DAN JATI DIRI PELAJAR

Pengisian bengkel yang padat selama dua hari meliputi ceramah tentang kepentingan seni dan budaya dalam melahirkan pelajar yang holistik serta kelas bimbingan seni seperti muzik, tarian, nyanyian, lakonan, pengurusan majlis dan pengacaraan majlis.

Menurut Pengarah Program, Mohamad Amir bin Mohd Zuki, bengkel tersebut adalah kesinambungan daripada inisiatif exco kesenian dan kebudayaan terdahulu

yang berjaya memberi impak tinggi dalam menyatukan pelajar daripada berbagai kaum serta mencungkil bakat pelajar dalam pelbagai cabang kesenian.

Menurutnya lagi, “kesemua pelajar sangat teruja mengikuti bengkel kerana fasilitator yang dilantik dalam kalangan ahli Kelab Bidasari, kelab Teater serta staf PBS sendiri sangat membantu dalam memberi tunjuk ajar dan melatih kami tanpa jemu”. Tambahan pula, pada akhir bengkel, setiap kumpulan akan membuat persembahan pada “Malam Bakat Asasi 2017” yang diurus sepenuhnya oleh pelajar asasi sendiri.

Pada “Malam Bakat Asasi 2017” pelbagai persembahan menarik ditonjolkan iaitu persembahan caklempong, nyanyian solo, koir, tarian asli dan moden, teater dan persembahan band oleh dua kumpulan muzik daripada pelajar Asasi Pengurusan. Pengacara majlis dan Technical Team yang dilatih daripada bengkel tersebut berjaya merealisasikan program dan menarik minat para hadirin untuk terus menunggu sehingga ke akhir program.

“Malam Bakat Asasi 2017” menyaksikan semua pelajar bertungkus lumus membuat persembahan yang menggabungkan pelajar dari berbagai kaum sama ada dalam persembahan tarian, teater dan koir.

Finale “Malam bakat Asasi 2017” dimeriahkan lagi dengan nyanyian tiga lagu patriotik sempena sambutan bulan kemerdekaan Malaysia iaitu Tanggal 31 Ogos, Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia oleh para pelajar dan tetamu jemputan.

Turut hadir pada malam tersebut adalah Prof. Madya Dr. Munif Zarirruddin Fikri bin Nordin, Timbalan Pengarah (Akademik) mewakili Pengarah, Pusat Asasi Pengurusan, Encik Muhammad Noor Fitri Ahmad , mewakili Pengetua, INASIS TNB, Encik Huzaidy Hj Hussain, Pengarah, Pusat Budaya dan Seni, Felo Inasis TNB serta tenaga pengajar Program Asasi Pengurusan.

Pusat Asasi Pengurusan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pusat Budaya dan Seni di atas kerjasama mengcungkil serta membimbing bakat-bakat baharu para pelajar Asasi Pengurusan mengikut kecenderungan masing-masing. Tidak ketinggalan jugak kepada INASIS TNB di atas sumbangan menyediakan peruntukan kewangan bagi menjayakan bengkel dan Malam Bakat Asasi 2017.