“NATION BUILDING IN ACTION: NATIONAL DAY PHOTOGRAPHY CONTEST 2018” TANAM KESEDARAN TENTANG NILAI PERPADUAN DALAM KALANGAN PELAJAR PROGRAM ASASI PENGURUSAN

Selaras dengan objektif kursus Introduction to Nation Building yang menekankan sejarah dan pembinaan negara bangsa, aktiviti ini menjadi salah satu medium menyemai kesedaran tentang pentingnya perpaduan dalam kalangan pelajar. Seramai tiga orang juri telah dijemput untuk menilai hasil kerja pelajar. Mereka terdiri daripada Dr Yusrita Mohd Yusoff dan Dr Azliza Othman, pensyarah kanan, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) serta Prof. Madya Dr. Munif Zarrifudin Fikri Nordin, Timbalan Pengarah (Akademik), Pusat Asasi Pengurusan.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Abdul Razak Yaakub, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan. Dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa nation building atau pembinaan negara bangsa ini merupakan satu usaha yang bukan sahaja untuk membina semangat patriotisme bahkan ia sangat penting untuk mewujudkan identiti nasional yang dikongsi bersama. “Matlamat utama pembinaan negara bangsa untuk melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu sebagaimana yang pernah diilhamkan oleh Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad”, katanya.

Beliau menambah bahawa pelajar-pelajar universiti menjadi aset penting negara dan merupakan “golongan elit masa depan” yang bakal menentukan hala tuju negara. Cabaran globalisasi hari ini boleh memberi impak yang besar kepada pembinaan negara bangsa. Justeru itu, pelajar-pelajar diingatkan agar menghargai dan saling hormat menghormati  agama, budaya atau bahasa pelbagai etnik di Malaysia supaya negara ini dibina di atas landasan yang betul.

Menyentuh tentang aktiviti “Nation Building in Action: National Day Photography Contest 2018” ini, Prof Dr Abdul Razak menyatakan bahawa aktiviti sebegini ialah ruang untuk pelajar Asasi Pengurusan menghargai sejarah, budaya, seni dan warisan negara melalui kreativiti serta bakat dalam bidang fotografi. Aktiviti ini bukan sahaja dapat menyemarakkan semangat cintakan tanah air, malah membantu pelajar membina kesedaran tentang perkongsian masa depan dalam era Malaysia Baharu.

SEKIAN.

==============================

DARIPADA:

PUSAT ASASI PENGURUSAN

UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

TEL.: 04-928 3452/3456

FAKS: 04-928 3453

E-MEL: asasi@uum.edu.my

FACEBOOK: Pusat Asasi Pengurusan

LAMAN WEB : Pusat Asasi Pengurusan