UUM ONLINE: Seramai 109 pelajar asasi Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengikuti Bengkel Interaksi Seni anjuran Pusat Budaya dan Seni UUM selama dua hari, baru-baru ini.
Pengarah Pusat Budaya dan Seni, Asmawiza Hussin, bengkel seni yang dijalankan itu bertujuan untuk mengilap bakat di samping menerapkan budaya aktiviti kesenian mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Sepanjang bengkel itu, mereka difokuskan kepada tujuh bahagian iaitu pengurusan majlis, teater, muzik, nyanyian, pengacara majlis, sastera dan tarian.
“Mereka dibimbing oleh tenaga pengajar dan fasilitator dalam kumpulan kecil tidak melebihi sepuluh orang supaya mereka lebih memahami tentang bidang seni yang mereka ambil di samping menepati proses SOP pengendalian aktiviti secara fizikal”, katanya.
Program julung kali yang dianjurkan secara fizikal ini diharap dapat memberi kesan yang baik di kalangan pelajar terutamanya dalam mengurangkan stress mereka di kampus.
Sementara itu, Ahmad Luqman Zainal Abidin dari Bahagian Exco Kebudayaan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pusat Asasi Pengurusan berkata, mereka mempelajari ilmu baru dalam kebudayaan seperti muzik, teater, nyanyian, sastera, pengurusan majlis, dan pengacara majlis sepanjang dua hari program berlangsung.
“Bengkel ini membantu pelajar asasi dalam membuat persediaan dan belajar bagaimana menjalankan acara Raising Star yang bakal dianjurkan oleh mereka pada bulan Febuari nanti.
“Pelajar Asasi sangat berminat dengan kebudayaan dan kesenian sehingga mereka merasakan bengkel selama dua hari ini tidak cukup untuk mereka mengasah bakat,” ujarnya.