Bagi memberi penekanan terhadap aspek kemahiran insaniah dan memperkasakan bakat bakal graduan Program Asasi Pengurusan, Biro Kebudayaan dan Biro Akademik Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022 telah berkolaborasi dengan Unit Debat Bahasa Melayu (UDBM), Universiti Utara Malaysia untuk menganjurkan Pertandingan Debat Mini Program Asasi Pengurusan secara dalam talian. Matlamatnya ialah untuk melahirkan pelaja berpengetahuan luas di samping memberi latihan dan pendedahan awal bagi membentuk ciri-ciri kepimpinan dinamik serta berketerampilan.
Pertandingan Debat Mini ini telah disertai oleh seramai 32 orang pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022 yang mewakili 8 kelas sebagai peserta pertandingan manakala lapan orang pelajar yang lain sebagai Yang Dipertua dan penjaga masa. Pelajar-pelajar yang lain turut terlibat dalam memberikan sokongan kepada rakan-rakan peserta. Seorang ketua hakim dalam kalangan Alumni UDBM iaitu Cik Nurul Rashidah binti Mohamed Roseli dan enam orang panel juri yang terdiri daripada Alumni Pendebat Asasi Kohort 7 telah dijemput bagi mengadili dan menentukan keputusan pertandingan. Tema perdebatan ialah mengenai “Memperkasakan Pendidikan Norma Baharu”.
Kepetahan dan kelantangan bicara para peserta mengutarakan hujahan dan huraian topik yang kritis menjadikan suasana Pertandingan Debat Mini ini agak sengit dan menarik perhatian para penonton. Secara tidak langsung, keterampilan para pendebat berupaya mempengaruhi dan membuatkan khalayak faham serta teruja dengan apa yang ingin disampaikan. Secara keseluruhannya, pasukan debat kelas H yang terdiri daripada empat orang pendebat yang matang dalam mengupas dan mengemukakan isi-isi usul telah merangkul tempat pertama untuk pertandingan. Mereka ialah Saudara Muhamad Azim Siddiq bin Mohd Nasir, Saudara Muhammad Idham bin Mohd Dagang, Saudari Nur Indriyana binti Hendra dan Saudari Putri Wirdani Elvyna binti Idi Sopan. Majlis penutup pertandingan turut dihadiri oleh Dr. Mohamed Ali Haniffa selaku Timbalan Pengarah, Pembangunan Pelajar, staf-staf pengurusan Pusat Asasi Pengurusan, Ketua Hakim, para panel juri dan para pelajar. Diharapkan semoga program-program insaniah seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.