Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperkenalkan barisan Exco Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022. Di samping itu untuk mengeratkan hubungan di antara barisan kepimpinan Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan dengan Pengurusan Tertinggi Pusat Asasi Pengurusan UUM. Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan ucapan aluan Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022, Saudara Ahmad Syazwan bin Ahmad Rafidi. Beliau bersyukur kerana diberikan peluang dan berharap barisan kepimpinan yang telah dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dengan efisien.
Selain itu, beliau juga mengharapkan Majlis Kunjungan Hormat ini dapat memberi input dan impak kepada seluruh EXCO serta cakna terhadap amanat yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Munif Zarirruddin Fikri bin Nordin. Majlis diteruskan dengan sesi penyampaian amanat oleh Yang Berusaha Profesor Dr. Munif Zarirruddin Fikri bin Nordin, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan UUM. Beliau merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan yang merupakan satu penghormatan kepada Majlis Perwakilan Pelajar. Beliau juga menyatakan harapan universiti yang mahu melahirkan Asasian yang holistik dan menjadi suri teladan kepada rakan-rakan mereka yang lain. Justeru itu, pihak universiti juga mengharapkan pelajar-pelajar Pusat Asasi Pengurusan dapat memperkasakan bakat dan kepimpinan apabila berada di peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda kelak. Majlis Kunjungan Hormat ini diakhiri dengan sesi soal dan bergambar yang turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Mohamed Ali bin Haniffa, Timbalan Pengarah, Pembangunan Pelajar. Adalah diharapkan Majlis Kunjungan Hormat ini akan memberikan suntikan semangat kepada barisan kepimpinan baharu agar dapat menggalas amanah yang diberikan.