Para mahasiswa dan mahasiswi perlu mengetahui teknik dan panduan yang betul dalam penyediaan slaid profesional bagi tujuan pembentangan. Sehubungan dengan itu, Biro Multimedia Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022 telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Slaid Profesional. Tujuan bengkel ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan pelajar yang kreatif dalam penyediaan slaid dan meningkatkan tahap kemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat.
Bengkel ini telah dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Webex pada hari Rabu, 10 November 2021, jam 2.30 petang. Biro Multimedia telah menjemput Encik Mohd Fitri Yusoff, pensyarah School of Creative Industry Management and Performing Arts (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia untuk menyampaikan sesi perkongsian bagi menghasilkan slaid pembentangan yang menarik. Seramai 181 orang pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022 telah menyertai bengkel tersebut. Bengkel ini turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa, Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan staf-staf pengurusan Pusat Asasi Pengurusan.
Encik Mohd Fitri Yusoff dalam sesi bengkel tersebut telah memberikan panduan mengenai perbezaan slaid yang efektif dan kurang efektif agar para pelajar dapat mengenal pasti kesalahan dalam penyediaan slaid profesional. Beliau juga telah memperkenalkan aplikasi dan perisian yang menarik dalam menyediakan slaid profesional seperti Canva, Visme, Slidebean dan lain-lain. Bengkel interaktif tersebut turut disajikan dengan sesi soal jawab dan kuiz dengan menggunakan platform Kahoot. Lima pemenang kuiz terbaik telah diberikan ganjaran wang tunai sebanyak RM 30 setiap seorang. Bengkel ini diakhiri dengan sesi bergambar para pelajar bersama penceramah dan “Keluarga Pusat Asasi Pengurusan”. Bengkel yang telah dilaksanakan memberikan impak positif kepada para pelajar khususnya dalam penyediaan slaid akademik secara professional.