Sembang Santai bersama Pengarah dan
Bicara Inspirasi: Berjaya dan Kerjaya
23 Februari 2022
Membina kerjaya yang cemerlang bukanlah satu perkara yang mudah namun, ia tidak mustahil untuk dilakukan. Cakna terhadap kerjaya para pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022, Biro Tugas-Tugas Khas dan Biro Akademik telah bekerjasama bagi menganjurkan program Sembang Santai bersama Pengarah Pusat Asasi Pengurusan dan Bicara Inspirasi: Berjaya dan Kerjaya. Program ini telah diadakan pada 23 Februari 2022, jam 2.00 petang secara dalam talian menerusi platform Webex dan disertai oleh semua pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022.
Tujuan program ini adalah sebagai platform perkenalan dan penyampaian amanat kepada para pelajar oleh Pengarah Pusat Asasi Pengurusan yang baharu iaitu Prof. Dr. Abdull Sukor bin Shaari. Beliau telah mengingatkan para pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022 mengenai tugas hakiki sebagai seorang pelajar iaitu untuk mengekalkan semangat belajar bersungguh-sungguh agar mampu memilih program pengajian yang sesuai di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Utara Malaysia. Hal yang demikian selaras dengan misi Pusat Asasi Pengurusan iaitu untuk melahirkan pelajar yang holistik dan berdaya saing di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Beliau juga telah menasihatkan para pelajar untuk menggunakan segala kemudahan yang disediakan di Universiti Utara Malaysia seperti Perpustakaan Sultanah Bahiyah dengan sebaiknya. Beliau mengakhiri sesi Sembang Santai ini dengan memperkenalkan falsafah Pusat Asasi Pengurusan kepada para pelajar Program Pusat Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022 iaitu “success is not given, it is earned”.
Slot kedua yang bertajuk Bicara Inspirasi: Berjaya dan Kerjaya pula bertujuan untuk memberi suntikan motivasi dan panduan kepada para pelajar Program Asasi Pengurusan Kohort 8 dalam memilih program pengajian setelah tamat pengajian selama setahun di Pusat Asasi Pengurusan. Sesi tersebut telah dijayakan oleh Encik Mokhtar bin Mohd Yusoff, Yang Dipertua, Majlis Guru Kauseling Kedah. Sebagai salah seorang Alumi UUM, beliau telah berkongsi ilmu dan pengalaman serta tips untuk berjaya dalam kerjaya dan pengalaman beliau ketika menuntut di Universiti Utara Malaysia. Beliau juga telah berkongsi formula untuk Berjaya iaitu “ABCDEF” di mana Attitude (A), Belajar (B), Cikgu atau Pensyarah (C), Doa (D), Emak dan Ayah (E) serta Fokus (F).
Beliau turut membincangkan isu kerjaya kepada para pelajar Program Asasi Pengurusan Kohort 8. Antaranya ialah fungsi EProfile yang terdapat dalam laman sesawang UPUonline kepada para pelajar yang membolehkan para pelajar membuat ujian Inventori Minat Kerjaya (IMK). Ini dapat membantu mereka memilih program pengajian di peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda yang sesuai dengan kelayakan dan personaliti diri pelajar. Program tersebut turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa, Timbalan Pengarah 1, Pusat Asasi Pengurusan dan staf-staf pengurusan Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia. Diharapkan program-program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang demi manfaat kepada semua pelajar Program Asasi Pengurusan.