“Road to Final dan E-mentoring” anjuran Biro Akademik dan Biro Kerohanian, Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022
30 Mac 2022, 12.30 tengahari hingga 1.30 petang
Dalam kesibukan mengikuti sesi pembelajaran, persiapan mental dan fizikal sangat diperlukan dalam usaha menjana kecemerlangan. Persiapan dari aspek kerohanian merupakan usaha konsisten yang perlu dilakukan oleh semua pelajar. Selain daripada itu, para pelajar memerlukan sokongan moral daripada mentor mereka apabila berhadapan dengan bebanan tugasan dan kuiz serta peperiksaan akhir yang semakin hampir,. Di atas kesedaran mengenai kepentingan persiapan kerohanian dan moral, Pusat Asasi Pengurusan bersama Biro Akademik serta Biro Kerohanian Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022 telah menganjurkan program “Road to Final dan E-mentoring”. Program santai tersebut telah diadakan pada 30 Mac 2022, jam 12.30 tengahari melalui platform Webex dan dihadiri oleh seramai 181 orang pelajar program Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Yassin yang dipimpin oleh Saudara Ahmad Syazwan bin Ahmad Rafidi selaku wakil pelajar Program Asasi Pengurusan. Seterusnya, Solat Hajat diadakan di kediaman masing-masing. Sesi E-mentoring dikendalikan oleh para mentor yang terdiri dalam kalangan pensyarah yang mengajar di Pusat Asasi Pengurusan. Setiap mentor menggunakan sesi ini untuk bertanya khabar dan berkongsi panduan serta tips bagi menghadapi Peperiksaan Akhir Semester Kedua. Sesi perkongsian dari hati ke hati ini telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan dalam kalangan pelajar yang sibuk menyiapkan tugasan dan sedang membuat persiapan menduduki peperiksaan akhir yang akan diadakan pada 17 April 2022 hingga 23 April 2022.
Program tersebut turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Ali bin Haniffa, Timbalan Pengarah I, Puan Nur Shazwani binti Shariffudin, Timbalan Pengarah II, dan seluruh warga Pusat Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia. Ribuan terima kasih diucapkan kepada para mentor dan mentee yang sudi meluangkan masa berkongsi matlamat bagi menjana kecemerlangan. Sesi Mentor-mentee ini akan diteruskan lagi pada Semester Ketiga yang akan bermula pada 8 Mei 2022.