UUM ONLINE: Setiap pelajar yang dipilih melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) semestinya tidak akan meninggalkan universiti ini dengan kekecewaan, sebaliknya membawa pulang bersama kejayaan.
Begitulah ungkapan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah pada Perjumpaan Naib Canselor dan Pengarah Asasi Pengurusan Bersama Waris Pelajar Baharu Sesi 2022/2023 di Dewan Seminar Pusat Islam, semalam.
Menurutnya, ramai graduan UUM yang keluar dari universiti ini menjadi individu berjaya dan berpengaruh kerana anak-anak luar biasa akan bersyukur dengan nikmat, maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh agar tidak mengecewakan harapan ibu bapa dan universiti.
Katanya, graduan mahupun alumni UUM ini berjaya dengan moto UUM yang diterapkan dalam diri masing-masing iaitu Ilmu, Budi, Bakti.
"Berada di kampus ini mungkin tidak selesa seperti berada di rumah, namun jika kita reda dengan kesusahan dan kepayahan, Allah akan datangkan kebahagiaan untuk 30 tahun akan datang.
"Sehubungan itu, saya ingin menyeru ibu bapa yang berkemampuan agar dapat menghulurkan sumbangan kepada UUM demi membantu anak-anak yang ingin mengejar impian dan cita-cita di universiti ini," kata Haim Hilman.
Menurut beliau lagi, dengan teladan yang ditunjukkan ibu bapa itu jugalah, universiti akan memahirkan anak-anak yang bukan hanya berfikir untuk diri sendiri tetapi sentiasa memikirkan orang di sekelilingnya juga.
Tambahnya, datanglah ke universiti ini dengan harapan untuk bersama-sama membangunkan UUM sebagai tempat anak-anak belajar agar mereka kelak menjadi kebanggaan semua.
Haim Hilman berkata, setiap kejayaan yang dikecapi adalah untuk dikongsikan bersama meskipun tidak sempurna tetapi berjiwa untuk melihat mereka berjaya.
Pada sesi tersebut, beliau memaklumkan kepada waris bahawa UUM merupakan universiti yang menempatkan semua pelajar tinggal di dalam kampus dengan tahap keselamatan yang tinggi tanpa perlu ibu bapa bimbang.
Selain menyediakan kemudahan fasiliti yang kondusif, UUM juga menawarkan program pengajian terbaik yang diiktiraf termasuk di peringkat antarabangsa seperti perakaunan dan undang-undang.
Pada sesi 2022/2023, seramai 363 pelajar ditawarkan ke Program Asasi Pengurusan UUM yang merupakan Kohort 9 sejak ia diwujudkan pada 2014, bagaimanapun sehingga semalam seramai 220 pelajar yang telah mendaftar dan dijangka akan bertambah seperti unjuran iaitu 250 pelajar.
Hadir sama, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa.