Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa berkata, program ‘The Leadership Camp’ adalah program tahunan Pusat Asasi Pengurusan yang bertujuan untuk menerapkan proses kepemimpinan yang unggul kepada peserta terpilih pada setiap sesi kemasukan pelajar.
Menurutnya, program itu juga bertujuan untuk melatih peserta supaya menjadi individu yang mempunyai jati diri yang teguh, dinamik dalam membuat keputusan dan mampu bekerjasama dengan ahli kumpulan yang berbeza latar belakang.
“Melalui aktiviti ikhtiar hidup, peserta mempamerkan kehebatan dan kebolehan menyediakan makanan dalam keadaan serba kekurangan seperti menggunakan ranting kayu serta buluh. Selain itu, semua peserta diwajibkan mengikuti aktiviti ‘jungle tracking’, latihan simpulan dan ikatan asas serta aktiviti latihan dalam kumpulan yang dikendalikan oleh fasilitator kem, para pensyarah PAP dan kaunselor pelatih,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penceramah jemputan iaitu Timbalan Pengarah Pusat Sukan, Zul Rusydi Hussin; Penolong Pengarah Kanan UUM Corporate Communication, Roslee Mardan dan Pegawai Tadbir Pusat Islam, Ustaz Muhammad Kamil Yazid yang berkongsi kepakaran dan ilmu pengetahuan kepada semua peserta.
Sementara itu, peserta, Mohamad Mirza Hidayat yang juga Setiausaha I, Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2022/2023 berkata, banyak aktiviti yang disusun rapi bagi membentuk kemahiran insaniah peserta dan membina idea kreatif pelajar menerusi aktiviti kebudayaan.
“Slot ‘Imagined Nation’ sangat menarik kerana peserta diberi peluang untuk memilih ‘Perdana Menteri’ bagi membentuk sebuah negara ‘ideal’ mengikut kumpulan masing-masing.
“Aktiviti ini dilihat berupaya mengasah kemahiran komunikasi saya apabila diberi peluang untuk membentangkan dan mempertahankan aspirasi negara ‘ideal’ kumpulan kami,” katanya.
Program tersebut turut diserikan dengan Majlis Apresiasi Staf Pusat Asasi Pengurusan, sesi penyampaian hadiah bagi kategori kumpulan dan peserta terbaik serta ucapan penutup oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Huzaidy Hussain yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Dalam ucapan beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan ahli jawatankuasa program ‘The Leadership Camp’ atas kejayaan penganjuran program berimpak tinggi itu.