Ungkapan ini menafsirkan maksud yang tersirat di mana kita wajar menyematkan sikap tidak mudah putus asa dalam melakukan sesuatu perkara yang mulia. Sinonim dengan situasi di mana pelajar-pelajar Pusat Asasi Pengurusan sedang bersiap sedia bagi menghadapi Kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM) 2023 yang bakal berlangsung pada pertengahan Mac ini. Sehubungan itu, Biro Sukan mengambil inisiatif dengan mempersiapkan hampir 100 orang pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2022/2023 untuk ke Universiti Islam Antarabangsa Gambang bagi mewakili UUM dalam 10 acara sukan yang dipertandingkan.
Fasa latihan intensif telahpun dijalankan bagi mempersiapsediakan para atlet untuk ke Sukan Asasi Malaysia 2023 yang diuruskan oleh Biro Sukan. Turut membantu adalah pengurus-pengurus sukan yang berkaliber dan jurulatih sukan masing-masing bagi menjayakan latihan dengan sistematik dan terurus. Langkah yang pragmatik oleh Biro Sukan ini diharap mampu mencapai objektif untuk meraih pingat dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan.
Selain itu, Biro Sukan turut menghantar atlet Pusat Asasi Pengurusan bagi mewakili INASIS TNB untuk kejohanan sukan Mas VS TNB yang telah berlangsung pada awal Januari lalu. Antara pasukan yang dihantar ialah sukan bola tampar, futsal, ping pong, dan bola jaring. Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan pada para atlet yang mewakili Pusat Asasi Pengurusan kerana telah menjadi johan dalam perlawanan sukan futsal, ping pong serta bola tampar wanita anjuran Inasis Malten. Turut tidak dilupakan, tahniah kepada para pemain bola jaring kerana berjaya meraih tempat keempat.
Perlawanan sebegini merupakan platform yang ampuh bagi membiasakan para atlet dengan situasi perlawanan dan sedikit sebanyak mampu memberikan pengalaman kepada para atlet Pusat Asasi yang bertanding sebelum mengorak langkah ke Sukan Asasi Malaysia 2023 yang akan menjelang tiba. Diharapkan semoga momentum dan usaha yang berterusan ini dapat dikekalkan sehingga tiba kejohanan Sukan Asasi Malaysia 2023 di Universiti Islam Antarabangsa pada bulan Mac kelak.