Mentor yang merupakan pihak yang berpengetahuan dan berpengalaman akan memberikan bantuan dan bimbingan kepada mentee bagi mencapai objektif perhubungan tersebut.
Memetik kisah Imam Shafie dan Imam Malik, seorang pendidik yang baik akan mengenal pasti kebolehan dan keistimewaan anak muridnya, agar proses pendidikan dapat dilakukan dengan tepat, sesuai dengan kebolehan dan keupayaan murid tersebut. Menyedari kemampuan dan keistimewaan Imam Shafie, Imam Malik terus mengajak Imam Shafie ke rumah beliau untuk terus dididik, dibimbing dan dipertajamkan kebolehannya sehingga akhirnya ilmu yang dicurah kepada Imam Shafie dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat.
Berdasarkan konsep mendidik dan membimbing tersebut, program mentor dan mentee telah diperkenalkan bagi menyediakan para pelajar Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia untuk menjadi individu yang bertanggungjawab, yakin, matang dan berfikiran kritis. Program ini diharap dapat menjadi tiang sokongan kepada para pelajar, terutama dalam menangani masalah akademik serta kesihatan mental.
Berikutan itu, pada 18 Januari 2023 seramai 223 orang pelajar Pusat Asasi Pengurusan dan 25 orang mentor yang merupakan pensyarah-pensyarah berpengalaman dari beberapa pusat pengajian Universiti Utara Malaysia telah menjayakan Program Mentor Mentee: We Care We Love anjuran Pusat Asasi Pengurusan. Penyerahan surat lantikan kepada para mentor oleh Pengarah Pusat Asasi Pengurusan Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Bin Haniffa merupakan simbolik perasmian program. Majlis berlangsung di Dewan Seminar Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, UUM.
Seusai tamat majlis perasmian program, para pelajar dan mentor bergerak ke bangunan Pusat Asasi Pengurusan untuk sesi suaikenal dan bimbingan yang pertama untuk semester kedua sesi 2022/2023. Para pelajar digalak berkongsi masalah berkaitan akademik dan kehidupan di kampus disamping mendapatkan nasihat serta bimbingan daripada para mentor. Hubungan mutualisme yang wujud antara pelajar dan mentor ini dapat menjadi satu platform kepada pelajar untuk bertanyakan soalan berkaitan akademik dan cadangan pemilihan kursus selepas asasi. Hubungan erat ini wajar diberikan perhatian kerana pelajar lebih cenderung untuk berkongsi masalah dengan persekitaran yang kondusif dan memahami.