Dalam ajaran Islam sendiri, umat islam diseru untuk memupuk elemen persaudaraan dan menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 13, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan”. Rentetan itu, kita sewajarnya memberikan tunjuk ajar dan membimbing golongan istimewa agar mereka tidak tersisih dari masyarakat. Antara inisiatif yang boleh diperkasakan ialah dengan mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang merupakan bahasa isyarat rasmi bagi orang kurang upaya (Akta OKU 2008).
Pada 4 Januari 2023, Biro Kebajikan Persatuan Perwakilan Pelajar Pusat Asasi Pengurusan telah menganjurkan Program Let the Hands Talk: Learn The Basics Of Malaysian Sign Language (BIM)”. Program ini telah dianjurkan di Bilik Kuliah Pusat Asasi Pengurusan yang dihadiri oleh seramai 223 orang pelajar.
Memetik aforisme Melayu “serampang dua mata”, program ini adalah inisatif Biro Kebajikan untuk menghapuskan stigma masyarakat terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mewujudkan persefahaman melalui Bahasa Isyarat. Selain itu, ia juga untuk membina kemahiran berkomunikasi dan memberi nilai tambah dalam memberi kesedaran pelajar terhadap golongan-golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Menurut teori kesan rama rama (butterfly effect) yang dikemukakan Henri Poincare, setiap perubahan kecil mendorong kepada kesan yang besar. Impak daripada penguasaan bahasa isyarat membenarkan pelajar merentasi benteng komunikasi dengan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seterusnya meningkatkan nilai kecerdasan emosi (emotional intelligence (EQ)) mereka.
Program dimulakan dengan tayangan filem pendek “Pekak & Bisu” yang mengisahkan tentang liku dan ranjau kehidupan adik beradik yatim piatu yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). Usai tayangan tersebut, para pelajar hangat memperdebatkan tentang pengakhiran filem, yang menyentuh tentang penindasan dan pengeksploitasian golongan istimewa ini. Seterusnya, para pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan kecil, dan empat AJK pengajar mengikut Bilik Kuliah masing-masing.
Sesi pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia diketuai oleh AJK pengajar dan diselia Saudara Muhammad Akmal Bin Shahril Izwani selaku tenaga pengajar utama. Para pelajar didedahkan kepada pengejaan huruf, pengiraan nombor, frasa menarik, negeri-negeri di Malaysia, dan frasa umum. Pada akhir program, sesi “Kahoot” diadakan untuk menguji pemahaman pelajar terhadap penggunaan bahasa isyarat.
Sejurus program berakhir, Biro Kebajikan telah menyelidik kepuasan pelajar dan kejayaan program. Kaji selidik ini dilakukan melalui pautan “Google Form” dan melibatkan 159 pelajar. Didapati 100% daripada pelajar setuju bahawa program ini berimpak dan memahami kepentingan bahasa isyarat sebagai wadah komunikasi. Seterusnya, 75% daripada 159 pelajar, menyuarakan keinginan mereka untuk mempelajari bahasa isyarat atas faktor tertentu. Tamsilnya, seorang pelajar berminat untuk mempelajari bahasa isyarat kerana menggemari menonton berita RTM yang memaparkan perterjemah bahasa isyarat. Selain itu, seorang pelajar berazam untuk berkomunikasi dengan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana ingin menyertai kerja sukarelawan. Pengaruh filem “Miracle Worker” yang merupakan biografi tokoh Orang Kurang Upaya (OKU), Helen Keller, turut mendorong pelajar untuk berkeinginan menguasai bahasa isyarat. Akhir sekali, pelajar turut menyuarakan cadangan penambahbaikan seperti mengecilkan kumpulan pelajar supaya pembelajaran lebih berfokus, dan meluaskan skop dengan melibatkan pensyarah dan staf UUM dalam sesi pembelajaran.