Matlamat institusi pendidikan dan tenaga pengajar adalah supaya pelajar menggunakan pemikiran kritis dalam setiap bidang yang mereka ceburi. Justeru, Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (PAPUUM) telah menghantar 11 penyertaan ke Pre-University Matriculation Innovation Competition 2023 (PIITRAM) anjuran Majlis Pengarah/Dekan Asasi Universiti Awam, baru-baru ini.
PIITRAM 2023 merekodkan penyertaan sebanyak 350 projek inovasi daripada semua pusat asasi universiti awam dan kolej matrikulasi seluruh negera. Terdapat dua mod pembentangan disediakan iatu secara fizikal dan atas talian.
Pembentangan secara fizikal telah diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia pada 17 dan 18 Februari lalu di mana PAPUUM telah berjaya meraih empat pingat emas menerusi projek inovasi pelajar (Kategori Sains Sosial) iaitu ‘WalkThru’, ‘WheelTrace’, ‘Foundo’ dan ‘Sign-Shine’; manakala lima pingat perak menerusi projek inovasi Kategori Staf Akademik iaitu ‘Studeio’ dan Kategori Pelajar iaitu ‘Trackio’, ‘Chikaku’, ‘Helcaut’ dan ‘StickwithU’. Dua pingat gangsa lagi bagi Kategori Pelajar iaitu projek ‘Picnikorb’ dan ‘Hangable’.
Lebih membanggakan, projek inovasi ‘WalkThru’ yang dianggotai oleh Aisyatus Syuhada Mohd Nasir, Nur Aisha Najihah Zaidatul Badri, Neoh Xin Yinh dan Nur Athirah Najwa Asrul telah memenangi ‘Most Creative Project Award’, sementara projek inovasi ‘WheelTrace’ yang diilhamkan oleh Morisha Reanne a/p Martin Luther, Muhammad Musyrif Romli, Mathavans a/l Manisegaran, Muhammad Aiman Farhani Serif dan Muhammad Haziq Haikal Muhammad Iskandar Zulkarnain dinobatkan sebagai ‘Most Innovative Project Award’.
Pengarah PAP, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa menzahirkan rasa syukur, tahniah dan terima kasih kepada semua peserta PIITRAM, tenaga pengajar sebagai mentor dan semua staf UUM yang berganding bahu dalam menjayakan penghasilan produk-produk inovasi ini.
Menurutnya, semua produk tersebut akan didaftarkan sebagai harta intelek UUM.
Beliau juga berharap semua pelajar dan warga universiti akan terus menyumbang kepada usaha memartabatkan UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.
Nur Athirah Najwa berkata, pertandingan itu dapat mencungkil bakat pelajar dalam bidang sains, teknologi dan sosial. Malah pertandingan ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama pelajar dalam usaha untuk mengharumkan nama baik Pusat Asasi Pengurusan dan UUM.
Menurut Timbalan Pengarah 1 PAP, Masanita Mat Noh, penglibatan pelajar dalam pertandingan ini dilihat mampu membuat mereka berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif dalam menghasilkan projek inovasi seterusnya berjaya meraih anugerah khas juri.
“Walaupun sibuk dengan tugasan akademik dan aktiviti pelajar, namun peserta PIITRAM tetap menunjukkan komitmen sepenuhnya dalam menghasilkan projek inovasi.
“Saya berharap pengalaman menyertai PIITRAM ini dapat menjadi pendorong kepada mereka untuk menghasilkan projek-projek inovasi yang lebih berimpak tinggi semasa di pengajian sarjana muda kelak,” ujarnya.