Menurutnya, pelajar Asasi Pengurusan UUM merupakan generasi peneraju yang sedang mengembangkan potensi diri dan memperoleh pengetahuan yang penting untuk membangun masa depan yang cemerlang. “Melalui program Asasi, pelajar telah memperoleh pengetahuan, kemahiran dan keyakinan yang akan membawa ke peringkat seterusnya dalam pendidikan masing-masing.
“Jangan pernah berhenti mengejar ilmu dan mencapai kecemerlangan. Teruskan perjuangan dengan berusaha gigih dan percayalah bahawa tiada impian yang terlalu besar jika kita mempunyai keyakinan dan usaha yang cukup,” katanya pada Majlis Asasian Gala Night Program Asasi Pengurusan Sesi 2022/2023 di EDC-UUM, semalam.
Pada malam itu, seramai 223 pelajar Program Asasi Pengurusan UUM kohort ke-9 yang bakal menamatkan pengajian peringkat Asasi telah diraikan dengan menerima anugerah khas dalam akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sahsiah. Dr. Mohd Foad turut bererima kasih kepada staf pentadbiran Pusat Asasi Pengurusan (PAP) dan INASIS yang telah menyediakan persekitaran yang kondusif dan sokongan yang diperlukan untuk perkembangan pelajar asasi.
Di samping itu, usaha dan pengorbanan semua tenaga pengajar turut dihargai kerana memberikan yang terbaik bagi pembangunan pelajar-pelajar tersebut.
Sementara itu, Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, Program Asasi Pengurusan merupakan program persediaan yang melatih pelajar menjadi lebih matang dalam aspek kehidupan, sahsiah dan pembelajaran. “Pengalaman belajar dan mengikuti pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat Asasi akan menjadikan pelajar lebih bersedia, berpengalaman dan berdikari untuk menggalas cabaran yang mendatang di peringkat Ijazah Sarjana Muda nanti.
“Saya berharap pelajar lepasan Asasi Pengurusan akan muncul sebagai pelajar terbaik kelas pertama di peringkat pengajian Sarjana Muda nanti. Jadilah pelajar cemerlang yang bijaksana dalam tindakan. Semoga terus berjaya dalam hidup dan sentiasa berbakti kepada masyarakat, agama dan negara,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan mantan Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa.