SINTOK: Sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin, Pusat Asasi Pengurusan (UUM) untuk mengadakan program bual bicara ‘Faizal Tahir Unplugged: Beyond The Stage‘ di Dewan Seminar C SMMTC, baru-baru ini.
Program bual bicara yang dihoskan oleh Syahmi Iman Muhammad Rezal itu menampilkan selebriti popular tanah air yang bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan, Ahmad Faizal Mohamed Tahir atau lebih dikenali sebagai Faizal Tahir.
Faizal Tahir telah berkongsi tentang misi kemanusiaan dan aktiviti kesukarelawanan serta impak penglibatan aktiviti tersebut dalam kehidupan beliau.
Dalam perkongsian tersebut, beliau turut menekankan kepentingan sifat empati dan saling membantu dalam kalangan keluarga dan kenalan terdekat.
Sementara itu, Pengarah Program, Shahrull Irfan Md Shukri berkata, menerusi soal jawab bersama Faizal Tahir itu dapat dilihat bahawa program anjuran Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan berjaya memberi inspirasi kepada pelajar PAP untuk mula bergiat dan cakna dalam aktiviti kesukarelawanan.
“Mahasiswa tidak boleh memandang enteng terhadap isu kemanusiaan. Mereka perlu peduli dan mempunyai inisiatif untuk membantu individu atau masyarakat yang memerlukan sama ada dengan menggunakan platform sedia ada seperti media sosial dan keratan akhbar, menyumbang dana atau menyertai badan bukan kerajaan (NGO) demi mewujudkan masyarakat global yang harmoni dan sejahtera,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar) PAP, Idzwan Yacob selaku penasihat program menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Faizal Tahir atas kesudian untuk meluangkan masa berkongsi pengalaman dan memberi inspirasi kepada pelajar Program Asasi Pengurusan.
Program bual bicara itu disertai oleh 210 pelajar Program Asasi Pengurusan dan 15 staf PAP.
Hadir sama, Pengarah PAP, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman. – Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal