Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, seramai 119 wira dan wirawati Asasi UUM akan mewakili universiti dan memikul harapan serta impian UUM di persada sukan peringkat nasional.
Menurutnya, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang gigih dan beliau berharap agar setiap pasukan memberikan prestasi terbaik dalam semua 11 acara yang akan dipertandingkan dalam SAM 2024.
Katanya, tanamkan azam dan tekad yang tinggi, serta menyusun strategi pasukan dengan baik.
“Pihak UUM meletakkan harapan agar pasukan kita dapat merangkul sekurang-kurangnya 7 emas, 3 perak dan 2 gangsa serta berada di tiga (3) pasukan teratas.
“Jadikan pencapaian itu kelak menjadi lebih bermakna pada tahun ini sempena UUM menyambut Hari Pengasasan UUM ke-40 dan Pusat Asasi Pengurusan (PAP) menyambut ulang tahun ke-10,” katanya di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pusat Asasi Pengurusan UUM di Foyer Canselori Sultan Sallehuddin, semalam.
Sebanyak 11 acara dipertandingkan iaitu karom (Berpasukan), petanque (Berpasukan), catur (Berpasukan Lelaki dan Wanita), badminton (Berpasukan), bola jaring (Berpasukan Wanita), futsal (Berpasukan Lelaki), ping pong (Berpasukan), bola tampar (Berpasukan Lelaki dan Wanita), olahraga (Balapan) 100 meter (Lelaki dan Wanita), 200 meter (Lelaki dan Wanita), 400 meter (Lelaki dan Wanita), 800 meter (Lelaki dan Wanita), 1500 meter (Lelaki), 4 x 100 meter (Berpasukan Lelaki dan Wanita), 4 x 400 meter (Berpasukan Lelaki dan Wanita), E-Sport: MLBB (Berpasukan) dan E-Sport: PUBG (Berpasukan).
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pengarah, Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan pegawai-pegawai universiti.