Pelajar Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak hanya terhad kepada pencapaian individu, tetapi menjadi ejen perubahan yang bertanggungjawab menjadi pelopor nilai murni.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Azizuddin Mohd Sani berkata, pelajar Asasi Pengurusan berperanan memberi sumbangan dalam pembangunan komuniti dan institusi.
Menurutnya, mereka bertindak untuk menjadi pemimpin bertanggungjawab dan membawa kesedaran sosial dalam kehidupan harian.
Katanya, melalui penyertaan dalam aktiviti kesukarelawanan, projek keusahawanan sosial, dan program pembangunan komuniti, pelajar dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat tempatan dan menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan.
"Sebagai duta institusi, lebih-lebih lagi sebagai pelajar lepasan Asasi Pengurusan kelak, pelajar bertanggungjawab untuk menjadi wakil yang baik dalam masyarakat dengan memperlihatkan sikap yang positif, integriti yang tinggi dan sikap kepemimpinan menerusi teladan dalam setiap interaksi dengan orang lain.
"Pengurusan UUM meletakkan harapan yang tinggi kepada graduan anak didik Program Asasi Pengurusan untuk bergraduat sebagai graduan ijazah kelas pertama kelak dan seterusnya menjadi aset berharga kepada agama, masyarakat dan negara," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali di Majlis Apresiasi Dan Penyampaian Sijil Anugerah Bagi Program Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024 di Dewan Seminar Pusat Islam, petang tadi.
Majlis tersebut meraikan kejayaan pelajar Program Asasi Pengurusan Kohort 10 yang memperolehi Anugerah Sijil Pengarah bagi Semester Pertama dan Kedua.
Timbalan Pengarah (Akademik), Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Masanita Mat Noh merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pengajian semester pertama dan kedua Sesi 2023/2024 ini.
Menurutnya, seramai 97 pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024 telah berjaya memperoleh PMS 4.0 semasa semester pertama dan 52 pelajar berjaya memperoleh PMS 4.0 semasa semester kedua. Daripada jumlah itu, 42 pelajar telah berjaya mengekalkan PMS 4.0 bagi kedua-dua semester.
Katanya, bagi penerima Anugerah Pengarah pula, seramai 178 pelajar yang berjaya memperoleh keputusan PMS 3.67 ke atas bagi semester pertama, manakala semester kedua seramai 150 pelajar.
"Saya berharap semua pelajar teruskan usaha dan komitmen dalam bidang akademik dan luar akademik, manfaatkan segala peluang yang ada di universiti untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan serta kekalkan hubungan baik dengan pensyarah, staf pentadbiran, rakan-rakan dan alumni untuk membina jaringan yang kuat dalam bidang profesional pelajar," katanya yang mewakili Pengarah PAP.
Hadir sama, Dekan Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail; Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar), Mohd Idzwan Yacob; Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal dan pegawai-pegawai kanan PAP.