Pusat Asasi Pengurusan (PAP) telah menganjurkan Program Penggerak Kerjasama Komuniti (PEKERTI) bersama penduduk Felda Laka Selatan, Changlun pada 25 Mei 2024. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar Asasi Pengurusan untuk mengamalkan kemahiran insaniah melalui kerja-kerja kebajikan.
Program ini melibatkan 100 pelajar dan 10 staf PAP, dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, menanam pokok, melukis mural, mengecat pondok sekolah, aktiviti kitar semula dengan kerjasama e-Idaman dan sesi perkongsian ilmu kepada komuniti Felda Laka Selatan. Sumbangan kepada golongan yang memerlukan juga telah diserahkan menerusi program ini.
Program dimulakan dengan taklimat oleh Tuan Mukrizani Mahmud dari Enviroment Idaman Sdn Bhd mengenai aktiviti kitar semula dan ucapan aluan oleh Puan Masanita Mat Noh, Timbalan Pengarah PAP. Peserta program kemudian dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan aktiviti gotong-royong di kawasan Masjid Al-Huda, SK Felda dan perumahan peneroka.
Di SK Felda, pelajar PAP melukis mural dan mengecat pondok sekolah sebagai usaha untuk menceriakan semula sekolah yang mengalami kebakaran sehingga mengakibatkan lima kelas di tingkat tiga sekolah tersebut hampir musnah. Aktiviti ini diharapkan dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan ceria.
Selepas aktiviti gotong-royong, pelajar menikmati jamuan makan tengah hari di Masjid Al-Huda. Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Dr. Syahida Hassan dari Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM mengenai cabaran dunia digital dan cara-cara mengelak dari penipuan dalam talian.
Majlis penutupan diserikan dengan ucapan penghargaan oleh Encik Wan Rahim bin Wan Ishak, Pengurus Felda Laka Selatan, yang menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kunjungan pelajar dan staf PAP. Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk mengukuhkan hubungan antara PAP UUM dan komuniti Felda Laka Selatan.
Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, Pengarah PAP, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan Felda Laka Selatan dan Enviroment Idaman Sdn Bhd atas kerjasama dan sumbangan mereka. Beliau menekankan pentingnya tanggungjawab sosial universiti dalam membantu masyarakat dan pembangunan komuniti.
Majlis penutup turut menyaksikan sesi menandatangani Sijil Jaringan SK Felda Laka Selatan, penyerahan cenderamata, cabutan bertuah, dan serahan sumbangan kepada komuniti asnaf Felda Laka Selatan.
Program PEKERTI ini memberikan impak positif kepada pelajar dengan memupuk nilai kepimpinan, sahsiah murni, dan jati diri bangsa Malaysia yang sejati, penting untuk membentuk pelajar sebagai bakal pemimpin negara masa hadapan.