All News

ASASIAN NIGHT TO REMEMBER RAI 210 PELAJAR

ASASIAN NIGHT TO REMEMBER RAI 210 PELAJAR

Seramai 210 pelajar diraikan pada Majlis Asasian Night to Remember, Program Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024, malam tadi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pelajar merupakan generasi peneraju yang sedang mengembangkan potensi diri dan pengetahuan untuk membangunkan masa depan yang cemerlang.

“Di UUM, saudara saudari telah memperoleh pengetahuan, kemahiran, dan keyakinan diri yang akan memacu saudara saudari ke peringkat seterusnya. Saya yakin dengan asas yang kukuh ini akan menjadi landasan yang terbaik untuk anda semua melangkah ke alam prasiswazah.

“Saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Pusat Asasi Pengurusan UUM dan amat berbesar hati dapat bersama 210 pelajar Program Asasi Pengurusan, UUM Sesi 2023/2024, kohort ke-10 yang bakal menamatkan pengajian peringkat Asasi tidak lama lagi.

“Tahniah atas usaha gigih dan kesungguhan yang telah saudara dan saudari tunjukkan sepanjang tempoh pengajian.

“Tamatnya pengajian peringkat asasi ini bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih mencabar. Setiap usaha dan pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh pengajian ini adalah persediaan untuk masa depan yang lebih gemilang.” ujarnya.

Selain itu beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua warga UUM.

Menurutnya, Aidiladha adalah hari yang penuh bermakna dalam mengenang sirah dan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan anaknya Nabi Ismail A.S.

Dalam konteks pendidikan katanya, pengorbanan yang dilakukan sepanjang pengajian asasi ini adalah cerminan semangat yang sama.

“Pengorbanan masa, tenaga, dan usaha yang dicurahkan demi mencapai kejayaan akademik adalah amat bernilai. Semoga semangat pengorbanan ini terus membara dalam diri ketika melangkah ke alam prasiswazah dan seterusnya.

“Di samping itu, ibu bapa yang telah banyak berkorban demi kejayaan dari segi masa, tenaga, dan wang ringgit telah menjadi tunjang utama dalam menyokong perjuangan anda.

“Mereka telah memberikan segala yang terbaik demi memastikan anda memperoleh pendidikan yang berkualiti dan mencapai cita-cita yang diimpikan.

“Oleh itu, semasa kita merayakan Hari Raya Aidiladha ini, marilah kita mengenang dan menghargai segala pengorbanan ibu bapa kita dan berusaha untuk membalas budi mereka dengan kejayaan yang cemerlang,” katanya.

Tambahnya, pensyarah telah mencurahkan sepenuh ilmu dan bimbingan dalam memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti.

Pada majlis itu, Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal turut berucap mewakili para pelajar diikuti penyampaian anugerah yang disampaikan oleh Naib Canselor.

Hadir bersama pada majlis malam itu ialah Prof. Dr Muhammad Fuad Othman, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail, Dekan SCIMPA dan Tenaga Pengajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024.