All News

287 PELAJAR BAHARU CEMERLANG DAFTAR PROGRAM ASASI PENGURUSAN UUM

287 PELAJAR BAHARU CEMERLANG DAFTAR PROGRAM ASASI PENGURUSAN UUM

 Seramai 287 pelajar baharu Program Asasi Pengurusan bagi sesi 2024/ 2025 mula mendaftar di Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini, sekali gus mencatatkan rekod ambilan pelajar tertinggi bagi kohort ke-11 kali ini.

Ambilan pelajar bagi Program Asasi Pengurusan di UUM adalah terhad kepada pelajar cemerlang SPM apabila 10,000 pelajar membuat permohonan melalui UPU Online di mana 1,700 memilih UUM sebagai pilihan pertama. 

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pengajian peringkat asasi membantu pelajar untuk beralih dari mentaliti pelajar sekolah menengah kepada mahasiswa universiti yang berfikiran lebih kritikal dengan penyesuaian diri mereka terhadap keadaan persekitaran serta realiti kehidupan di universiti.

“Program Asasi Pengurusan adalah sebagai fasa persediaan yang komprehensif bagi melengkapkan para pelajar lepasan sekolah menengah dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi program pengajian peringkat sarjana muda kelak,” katanya ketika sesi Naib Canselor bersama Waris Pelajar Baharu Program Asasi Pengurusan yang diadakan di Auditorium SOIS, semalam.

Sesi yang diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada waris untuk terlibat secara langsung dengan Naib Canselor bagi memupuk komunikasi terbuka, selain menjelaskan kepada ibu bapa perkembangan semasa UUM dan menjelaskan prosedur pentadbiran, perkhidmatan sokongan serta sumber yang tersedia untuk pelajar.

Dr. Mohd Foad berkata, kebolehpasaran graduan UUM pada tahun lalu mencatatkan 95 peratus graduan mendapat pekerjaan dan UUM diiktiraf sebagai universiti nombor satu terbaik di Malaysia bagi kategori usia 50 tahun oleh badan ranking antarabangsa.

“Bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran boleh berlangsung dengan sumpurna, pelajar asasi ditempatkan di Inasis TNB dan MAS yang berdekatan dengan tempat kuliah selain tahap capaian Wi-Fi yang agak baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Asasi, Prof. Dr. Mohd Fuad Othman berkata, pelajar dari Program Asasi Pengurusan dijadikan sebagai ‘feeder’ universiti mempunyai jaminan dan bebas memilih dari 48 program ijazah sarjana muda yang ditawarkan di UUM bergantung kepada syarat-syarat kemasukan. 

Menurutnya, program asasi disusun dengan teliti agar sejajar dengan kurikulum sarjana muda yang melancarkan peralihan akademik pelajar.

Katanya, kurikulum disesuaikan dengan teliti untuk memenuhi keperluan khusus dan jangkaan program ijazah sarjana muda.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani.