Seramai 287 pelajar baharu program Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025 (Kohort 11) melafazkan ikrar pelajar baharu di Auditorium SOIS, semalam.
Bacaan ikrar dilafazkan oleh pelajar baharu Pusat Asasi Pengurusan yang diketuai oleh Putera Muhammad Al-Fariz Mohd Sahabuddin.
Penyerahan watikah Aku Janji oleh Putera Muhammad Al-Fariz telah diserahkan kepada Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah dengan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mewakili Naib Canselor.
Sementara itu, Dr. Ahmad Martadha berkata, peringkat ini menjadi titik permulaan pelajar untuk memperkukuh asas dalam bidang ilmu pengurusan sebelum melangkah ke pengajian universiti.
Menurutnya, sesungguhnya pelajar telah membuat keputusan yang tepat dan bijak dengan memilih UUM kerana universiti ini terkenal dengan program-program pengurusan terbaik dunia dan penyediaan fasiliti yang cukup lengkap kepada pelajar.
Katanya, pengajian selama setahun di Pusat Asasi Pengurusan memerlukan komitmen yang tinggi dan menuntut pelajar untuk lebih berdikari kerana konsep pelajaran samada diperingkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Asasi mahupun Matrikulasi memerlukan pelajar untuk lebih berdikari dan tidak bergantung pada tenaga pengajar.
"Rebutlah peluang berada di UUM dengan memperbaiki diri dan tidak membuang masa serta menjadi pelajar yang aktif dalam melibatkan diri dalam badan pelajar, komuniti dan keusahawan. Aktiviti-aktiviti ini telah berjaya membentuk kemandirian lepasan asasi UUM.
"Saya berharap agar pelajar baharu program Asasi Pengurusan sesi kali ini juga mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) akan datang dengan memperolehi Band 4 atau 5," katanya.
Sementara itu, wakil pelajar, Nik Muhammad Afif Zahin Nik Mohd Nasir berkata, setiap program atau aktiviti yang dirancang ini telah mendorong pelajar untuk lebih mengenali antara satu sama lain, mencungkil bakat pelajar dan sifat kepimpinan dalam diri juga telah membangkit semangat setia kawan dan kerjasama dalam kumpulan.
Hadir sama, Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib; Pengarah Pusat Asasi Pengurusan (PAP), Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman, Pengetua-pengetua Inapan Siswa dan Timbalan-timbalan Pengarah PAP.