Kecerdasan Buatan (AI) merupakan eksplorasi baharu dalam dunia pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pelajar kini berhadapan dengan perubahan yang sangat pantas dalam teknologi.
“Hari ini kita bercakap tentang AI, bidang yang sangat besar pengaruhnya dan mengubah tatacara bukan hanya cabaran tetapi juga peluang untuk kita capai.
“Justeru, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi mengajak semua universiti bersedia menghadapi dunia AI,” ucapnya pada Sesi Amanat Dan Interaksi Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi bersama Pelajar Baharu Sesi 2024/2025(Ambilan Asasi/Diploma) berlangsung secara dalam talian, di Auditorium SOIS, UUM, pagi tadi.
Dr. Zambry berkata, mahasiswa perlu mempunyai keazaman yang tinggi untuk menjadi pelajar yang hebat kerana negara dan keluarga memerlukan generasi celik teknologi.
Dalam konteks KPT, katanya, kementerian turut memastikan akan lahir satu generasi yang hebat mendepani cabaran yang tersendiri.
“Kita telah melahirkan anak-anak yang hebat dalam segala bidang khususnya pendidikan.
“Saya harap mahasiswa ambil kesempatan dengan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu sedalam-dalamnya kerana dunia keilmuan mempunyai ruang lingkup yang sangat luas.
“Kalau zaman dulu kita hanya berpandukan buku dan pensyarah semata-mata tapi pada hari ini sistem pembelajaran sudah berubah, bukan hanya bersandar pada buku, silibus dan pensyarah tapi juga sumber ilmu berada di hujung jari. Dunia media sosial membuka ruang dan peluang, sama ada kita memilih yang baik atau sebaliknya.
“Tentunya untuk melahirkan generasi yang baik, kita akan menggunakan sumber ilmu dan informasi dengan platform ilmu yang ada dengan pemikiran dan tindakan yang positif,” tambahnya.
Dr. Zambry berkata, mahasiswa terpilih perlu menggunakan kehebatan yang ada untuk menjadi pelajar cemerlang dalam bidang masing-masing dalam meneruskan pengajian.
“Perdana Menteri kita ada menyebut dunia pengajian tinggi mesti ada misi besar iaitu menggapai langit, mengakar di bumi. Maknanya kita harus mempunyai cita-cita besar untuk menjadi pelajar cemerlang tapi dalam masa yang sama jangan lupa akar iaitu, asas, budaya, nilai dan agama kita,” ucapnya.
Menurutnya, dalam proses pembinaan otak dan watak, negara ingin lahirkan generasi yang hebat bukan sahaja cemerlang di atas kertas pada masa sama mempunyai watak dan nilai yang hebat, termasuk bidang sukan.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar yang baru mendaftar diri di 16 buah universiti.
Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan pelajar baharu Asasi Pengurusan UUM.
Pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025, Nik Muhammad Afif Zahin Nik Mohd Nasir turut berpeluang untuk berinteraksi dalam Sesi Soal Jawab bersama Menteri Pendidikan Tinggi.