All News

28 PELAJAR ASASI DIPILIH TERAJU EXCO PERSATUAN PELAJAR ASASI PENGURUSAN

28 PELAJAR ASASI DIPILIH TERAJU EXCO PERSATUAN PELAJAR ASASI PENGURUSAN

 

SINTOK: Seramai 28 pelajar dipilih dalam barisan pimpinan EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025 yang diadakan di Manager’s Coffee, pagi tadi.

Penyerahan watikah pelantikan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dalam ucapan beliau berkata, pemilihan sebagai EXCO bukanlah semata-mata kejayaan populariti, sebaliknya ia merupakan satu pemberian amanah iaitu kejayaan yang diiringi tanggungjawab besar untuk digalas nanti.

Menurutnya, pastikan diri bersedia secara mental dan fizikal untuk memenuhi tanggungjawab ini dengan cemerlang.

Katanya, sebagai EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan juga harus bertanggungjawab membantu menyampaikan hasrat dan menjadi penghubung utama antara pelajar dan pihak pengurusan UUM dan Pusat Asasi Pengurusan (PAP) khususnya dalam apa jua perkara berkaitan pelajar.

“Saya yakin dan percaya bahawa kesefahaman antara pelajar dan universiti akan melahirkan sinergi yang terbaik untuk kelangsungan universiti sekiranya kita saling menghormati kerana pengurusan universiti dan pemimpin pelajar berpisah tiada.

“Seiring dengan teras keenam Pelan Strategik UUM untuk melahirkan Graduan Holistik, pihak pengurusan Universiti juga akan sentiasa menyokong penuh setiap pandangan, program dan aktiviti yang akan dilaksanakan sekiranya ia bakal memberikan impak positif serta imej yang baik kepada universiti dan komuniti,” katanya di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Exco Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025 di Manager’s Coffee, pagi tadi.

Dr. Ahmad Martadha merakamkan penghargaan terhadap mantan EXCO Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2023/2024 yang diterajui oleh Muhammad Syahmi Iman Muhd Rezal kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan begitu cemerlang sepanjang tempoh lantikan mereka.

Beliau percaya pengalaman berharga yang telah diperoleh sepanjang perkhidmatan sebagai EXCO menjadikan pelajar lebih matang dan rasional serta bersedia memimpin sekurang-kurangnya kepada diri sendiri bagi menghadapi cabaran di peringkat pengajian lebih tinggi dan di alam kerjaya kelak.

Majlis menyaksikan penyerahan serah tugas Presiden daripada Muhammad Syahmi Iman kepada Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan Sesi 2024/2025, Muhammad Thaqif Amsyar Azman.

Sementara itu, Muhammad Thaqif mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan UUM kerana telah meletakkan kepercayaan kepadanya selaku Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan bagi sesi 2024/2025.

Beliau yakin dengan kesungguhan dan minat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan, kerjasama dan sinergi yang terjalin bakal memberi impak yang positif serta progresif terhadap Pusat Asasi.

Hadir sama, Pengarah, Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan pegawai-pegawai kanan PAP.